Khamis, 17 Januari 2013


Sirat al-Mustaqim: Titian menuju Syurga

PERHIMPUNAN seluruh manusia di padang mahsyar, timbangan amal di Mizan, melintasi titian sirat dan telaga al-kausar semuanya adalah sebahagian daripada perkara ghaib atau sam’iyat yang wajib diimani sepenuh hati oleh umat Islam tanpa keraguan walau sedikit pun.

Hal ini termaktub dalam ketetapan ALLAH SWT: “(Iaitu) orang-orang yang mengimani akan perkara-perkara yang ghaib.” (Surah al-Baqarah: 3)

Acap kali disebut dalam al-Quran

Eksekutif Komunikasi Korporat di Lembaga Zakat Selangor, Ustaz Hamizul Abdul Hamid berkata, dalam al-Quran mahu pun hadis memang disebut mengenai sirat. Tetapi ada yang tidak tahu apa itu sirat.

“Dari aspek bahasa, sirat bermakna jalan atau laluan atau dalam bahasa Inggerisnya ia disebut path. Jika merujuk kepada Kamus Dewan, sirat turut dinyatakan sebagai jambatan atau titian (halus) yang melintasi neraka untuk ke syurga.

“Menyingkap konteks sebenarnya, sirat adalah satu laluan yang wajib dilalui oleh seluruh manusia di akhirat kelak dalam perjalanan kita menuju ke syurga ALLAH. Hanya orang beriman dan bertakwa akan berjaya melintasinya manakala golongan musyrik, kufur dan pelaku dosa tidak akan berjaya melintasinya,” katanya yang juga penulis buku keagamaan terbitan Karya Bestari ini.

Menurutnya, dalam al-Quran itu sendiri terdapat 32 tempat daripada 21 surah yang menyebut kalimah sirat. Bahkan kalimah sirat turut menjadi bacaan wajib di dua tempat dalam surah al-Fatihah ketika solat, iaitu pada ayat enam dan tujuh, yang bermaksud: “Tunjuklah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka; bukannya (jalan) bagi orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga (jalan) bagi orang-orang yang sesat.”

Suasana dalam kegelapan

Dalam surah Maryam iaitu pada ayat 68 hingga 72, ALLAH menggambarkan keadaan umat manusia pada hari pembalasan kelak. Pada saat itu, semua manusia, sama ada Muslim atau kufur akan dihimpunkan di padang Mahsyar dan kemudiannya akan melalui sebuah titian disebutkan sebagai ‘sirat al-mustaqim’ yang merentangi neraka Jahanam.

Hamizul menjelaskan, ALLAH juga menyatakan bahawa hanya yang beriman dan bertakwa akan diselamatkan serta mereka yang kufur dan ahli maksiat akan dibiarkan (ditarik) masuk ke dalam neraka oleh pengait-pengait berduri dari dalam neraka.

“Pernah seorang Yahudi mendatangi Nabi Muhammad SAW dan bertanya: “Di mana manusia (akan) berada pada hari pergantian bumi dan langit dengan bumi dan langit yang lain (yakni selepas kiamat berlaku dan manusia berada di Padang Mahsyar)?’ (Maka) Rasulullah menjawab: “Mereka berada dalam kegelapan, dekat suatu jambatan (sirat).”

Yahudi (bertanya lagi): “Siapakah orang yang mula-mula (akan) melalui jambatan itu?” Rasulullah menjawab: “Kaum Muhajirin yang miskin-miskin (dan merekalah yang mula-mula memasuki syurga).” (Riwayat Muslim daripada Tsauban)

“Ramai yang bertanyakan mengenai keluasan sirat ini? Suka saya bawakan satu kisah, pernah Siti Aisyah bertanya kepada Nabi, di manakah semua manusia berada pada hari kiamat nanti, dan Baginda menyatakan: “(Semua manusia) berada di atas jambatan neraka Jahanam.” (Riwayat Tirmizi),” cerita Hamizul lagi.

Menurutnya, sirat ini amat luas kerana mampu menempatkan semua manusia di atasnya. Walau bagaimanapun, keadaan manusia pada ketika itu amat membimbangkan. Suasananya dalam kegelapan, manusia yang ramai berada dalam keadaan bersesak-sesak dan semua orang berasa takut termasuklah para nabi sendiri dan berharap dapat melintasi sirat dengan selamat.

Ketika itu, semuanya bergantung kepada iman dan amal soleh semasa di dunia. Itulah yang mampu menyelamatkan diri daripada ujian sirat tersebut. Jika pelaku dosa, maka sirat menjadi bencana bagi mereka kerana pasti terjatuh ditarik ke dalam neraka.

Di tengah-tengahnya neraka
Hamizul berkata, mengenai kedudukan titian sirat itu, dipercayai berada di antara padang mahsyar menuju ke syurga dan di tengah-tengahnya adalah neraka.

“Kita boleh membayangkan, andaikan kita berada di Seberang Perai menuju ke Georgetown di Pulau Pinang dan perlu melalui jambatan Pulau Pinang yang di bawahnya adalah lautan yang sangat dalam dan luas.

“Bayangkan tiba-tiba jambatan itu bergegar kerana gempa bumi dan kita hampir terjunam masuk ke dalam lautan yang sangat luas dan dalam itu, maka lebih dahsyat lagi di atas sirat, kerana di bawahnya adalah neraka yang apinya menyala-nyala dan kedalamannya juga tidak terkira. Setakat pengetahuan saya juga, tidak ada nama lain diberikan selain daripada sirat,” katanya.

Menurutnya, Ibnu Katsir dalam tafsirnya ada menyatakan, kelajuan seseorang manusia melalui sirat ini adalah tergantung kepada amal ketakwaannya semasa hidup di atas dunia. Orang yang beriman dan bertakwa, meninggalkan perbuatan dosa, mentaati segala suruhan ALLAH, maka pastilah mereka mampu melintasinya dengan cepat.

Secepat manakah kelajuannya? Inilah yang disebutkan oleh sesetengah riwayat, ada yang secepat kilat, kuda yang berlari dan sebagainya.

Di dalam sebuah hadis, Qutaibah pernah melaporkan: “Lalu orang-orang Muslimin berdiri dan jambatan (sirat) diletakkan, kemudian mereka melalui di atasnya seperti larinya kuda yang bagus dan penunggang kuda (yang pandai).” (Riwayat Tirmizi)

Sabtu, 12 Januari 2013

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM....
PERKARA MEGENAI HUBUNGAN DI ANTARA ORANG ISLAM....

Daripada Abu Hurairah R.A berkata:
Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
" Orang yang menaiki kenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki,orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk, dan kumpulan sedikit memberi salam kepada kumpulan yang ramai"

                                                                                                    ~Riwayat Muslim~

Resolusi Addin: Facebook atau Face It

Resolusi Addin: Facebook atau Face It:


Generasi cyber


Bilik guru kelihatan sepi. “Ramai yang masih mengajar agaknya,” fikir abi. Rehat sebentar di meja guru, sebelum sambung mengajar.

Sempat juga mendengar perbualan cikgu-cikgu di meja bersebelahan. Mungkin mereka juga tiada kelas mengajar. Topik perbualan berkaitan Facebook, laman sosial yang terkenal di seluruh dunia.

Cikgu A: “Zaman sekarang ini susah kalau tiada Facebook. Maklumlah, semua maklumat diperoleh di situ. Berita sukan, isu semasa dalam dan luar negara, tips kesihatan, penganjuran program dan pelbagai lagi. Semuanya update. Tak perlu lagi menonton berita atau membaca akhbar.”

Cikgu B: “Betul juga. Sekarang ini, dengan satu klik, kita boleh post, share, dan like apa yang kita nak. Tak dinafikan, ramai juga post status yang bersifat peribadi. Hari ini masak apa, hari ini bergaduh dengan siapa, hari ini keluar dating dengan siapa. Semua nak post. Macam diari pula.”

Cikgu A: “Hmm. Itulah. Kadang-kadang sakit hati pun ada. Sehinggakan hal rumahtangga yang bersifat peribadi pun, ingin dikongsi di Facebook, samada si suami atau si isteri. Bahaya juga.”

Cikgu B: “Apabila ditegur, dikatakan kita busy body. Marah. Zaman IT memang canggih. Apabila kita berselisih pendapat di alam maya, penyelesaiannya adalah unfriend dalam Facebook.”

Cikgu A: “Haha. Betul tu. Saya setuju. Kalau sakit hati, kita block orang tu dalam Facebook.”

Cikgu B: “Eh. Saya baru sedar. Kita belum jadi friend dalam Facebook kan? Saya add as friend cikgu ye. Nanti cikgu approve. Eh, ustaz, dah lama ke ustaz di situ? Tak perasan pula. Haa ustaz, apa Facebookustaz? Saya nak add as friend ustaz juga.”

Tanpa disedari, abi juga ‘terpaksa’ turut serta dalam perbualan mereka. Namun, hanya seketika, kerana abi ada kelas mengajar.

Membuka aib sendiri

Jangan jadikan Facebook sebagai diari. Post perkara yang tidak sepatutnya. Jangan mengadu masalah kita di Facebook semata-mata, tetapi face it! Hadapi masalah kita. Mengadu masalah kita kepada Allah.

Tidak semua perkara perlu kita hebahkan kepada umum. Tambahan pula perkara tersebut bersifat peribadi, sehingga mengaibkan diri sendiri.

Upload gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna, dengan posing yang menggoda. Comment status bertujuan untuk mengumpat dan menjatuhkan orang lain. Post status mesra antara boyfriend dangirlfriend.

Mungkin anda tidak berniat apa-apa, tatkala melakukan perkara sedemikian di alam maya. Tetapi, bagaimana pula dengan orang yang membacanya? Anda sendiri yang membuka pekung di dada. Maka, jangan disalahkan orang yang menegur.

Abi berasa sedih. Ada yang bangga, menceritakan maksiat yang telah dilakukan. Segalanya diceritakan diFacebook. Di mana sifat malu anda? Kenapa anda membuka aib sendiri?

Bersumberkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
"Semua umatku diampuni kecuali orang-orang yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan. Salah satu contoh perbuatan maksiat ialah, seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, padahal Allah menutupinya, namun kemudian pada pagi harinya ia bercerita kepada orang lain: 'Hai fulan, semalam aku melakukan ini dan itu." Sebenarnya ia tidur malam dengan ditutupi aibnya oleh Tuhannya, tetapi pagi harinya ia menyingkap sendiri tabir Allah itu darinya.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari(6069) dan Muslim(6990))

Jangan terpedaya

Syaitan dan hawa nafsu akan melakukan apa sahaja, untuk menyesatkan manusia. Membuatkan kita merasa bangga dengan kejahatan yang dilakukan. Sehingga kita tidak berasa malu sungguhpun melakukannya di khalayak ramai atau di alam maya. Kita akan menjadi insan yang rugi, jika Allah juga sudah tidak mempedulikan kita. Tidak memberi peringatan kepada kita. Membiarkan kita bergelumang dengan dosa.

Ingat! Manfaatkan dengan sebaiknya. Facebook boleh jadi sumber pahala kita di akhirat. Boleh juga menjadi sumber dosa di akhirat kelak.

Bagaimana ianya boleh menjadi sumber dosa? Apabila kita menggunakan Facebook untuk upload gambar yang tidak menutup aurat. Menggunakan untuk mengumpat dan menghina orang, dan pelbagai lagi perkara negatif.

Bagaimana ianya boleh menjadi sumber pahala? Apabila kita memanfaatkan Facebook dengan sebaiknya.Share perkara yang mendatangkan kebaikan kepada umum. Banyak ayat Al Quran, Hadith dan kisah teladan yang memberikan manfaat. Tetapi, awas! Pastikan dulu ia daripada sumber yang sahih! Selidik dahulu. Dikhuatiri niat melakukan kebaikan, sebaliknya mendapat dosa pula, kerana menghebahkan perkara yang tidak sahih.

Masih belum terlambat

Kadangkala, abi juga tidak menggunakan Facebook dengan sebaiknya. Ada sahaja post atau share perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Abi juga manusia biasa, bukannya malaikat. Sering melakukan kesilapan. Dengan teknologi Facebook Timeline, kita dapat mengakses semua post yang terdahulu. Sejak daripada kita register Facebook sehinggalah sekarang. Memaparkan apa sahaja yang kita lakukan diFacebook. Maka abi gunakan peluang tersebut untuk delete post yang tidak mendatangkan manfaat. Sungguhpun penat, ia berbaloi.

Itu hanya di Facebook. Kita mampu delete semula post kita yang terdahulu.

Bagaimana pula ketika di akhirat kelak? Allah akan memaparkan semua yang telah kita lakukan, sejak kitaregister sebagai hamba Allah sehinggalah saat kematian. Segala kebaikan dan keburukan akan dipaparkan. Adakah kita boleh delete begitu sahaja dosa yang kita telah lakukan, seperti kita delete post di Facebook?

Bertaubat sebelum terlambat. Muhasabah diri. Facebook atau Face It (hadapinya).

Resolusi Addin: Antara Si Soleh dan Si Solehah

Resolusi Addin: Antara Si Soleh dan Si Solehah: Dakwah Islam


Sifat tawaduk seorang lelaki

Cuti sekolah dimanfaatkan abi sepenuhnya. Membaca beberapa buah buku dan majalah yang masih lagi tidak terbaca. Majalah Solusi. Antara majalah Islam yang berkonsepkan santai. Abi langgan setiap bulan. Selain itu, masa juga banyak diluangkan bersama keluarga. Itu adalah antara ‘kelebihan’ menjadi ustaz atau guru di sekolah. Banyak cuti. Tak dinafikan.

Telefon berdering. Paparan skrin menunjukkan ‘Ahmad is calling’. Ahmad merupakan salah seorang anak usrah abi di universiti berdekatan rumah abi. Seorang yang soleh dan tawaduk. Malah, seorang yang berkepimpinan dan dihormati kebanyakan orang. Hebat perwatakannya.

“Assalamualaikum, ustaz. Ustaz apa khabar?” Ahmad memulakan bicara.

Abi meletakkan majalah Solusi di sebelah. Fokus kepada apa yang akan diperkatakan Ahmad. Musykil juga. Ahmad tidak pernah menelefon abi pada awal pagi.

“Waalaikumussalam, Ahmad. Alhamdulillah, sihat. Enta? Owh, ada apa ini, telefon ustaz pagi-pagi ini?”

“Maaf mengganggu ustaz. Ana cuma nak minta pendapat ustaz. Boleh?”

“InshaAllah boleh. Apa yang enta ingin katakan?”

“Alhamdulillah. Ana sudah banyak kali solat istikharah, ustaz. Sekarang ini ana nak istisyarah pula dengan ustaz. Ana minat akan seorang muslimat. Ustaz kenal muslimat itu. Namanya Siti. Setiausaha badan agama di universiti ana. Tetapi, ana tidak tahu samada itu hanyalah perasaan kagum atau benar-benar cinta. Apa pendapat ustaz?”

“Hmm. Yang pertama, ustaz puji tindakan enta kerana enta mampu menguruskan perasaan itu dengan baik. Enta tidak berhubung dengan muslimat itu, tetapi enta istikharah dan istisyarah. Tidak ramai pemuda seperti enta. Alhamdulillah. Yang kedua, ustaz puji tindakan enta kerana enta memilih seorang muslimat yang solehah untuk dijadikan calon isteri. Ustaz kenal peribadi beliau. Ustaz berpendapat enta sudah memilih calon zaujah yang sesuai, demi memastikan kelangsungan dakwah enta pada masa akan datang.”

“Tetapi, ada sesuatu perkara yang ana masih lagi fikirkan, ustaz. Ana rasa tidak layak untuk muslimat itu. Beliau seorang yang hebat peribadinya. Bertudung labuh. Kerja dakwah dan tarbiah sangat hebat. Istiqamah melakukan usrah. Malah, sangat menjaga ikhtilat antara lelaki bukan mahram. Lemah lembut. Tetapi, tegas dalam melakukan kerja. Beliau seperti sekuntum mawar berduri. Ana rasa tidak layak untuk muslimat itu. Itu yang membuatkan ana ragu-ragu untuk merisik dan taaruf dengan beliau, serta menggunakan perantaraan ustaz sebagai orang tengah."

“Hmm. Enta yang rendah diri sangat ini.”

Sindrom ‘aku tidak layak’

Tak dinafikan. Ramai yang berfikiran seperti ini. Samada yang soleh mahupun yang solehah. Meletakkan kayu ukur ‘aku tidak layak’, maka membuatkan diri rasa tidak mahu untuk merisik atau taaruf. Abi pernah berbicara dengan seorang sahabat. Beliau berkata; jika semua rasa tidak layak, maka siapa yang akan berkahwin yang si soleh dan si solehah ini?

Abi terkesan dengan kata-kata beliau. Perkara ini sering terjadi kepada si solehah. Disebabkan si solehah itu hebat peribadinya, membuatkan si soleh rasa tidak layak untuk si solehah. Menyebabkan tiada siapa yang ingin merisik si solehah yang hebat itu, untuk dijadikan calon isteri.

Malah, perkara ini juga sering terjadi kepada si soleh. Si soleh merisik si solehah. Disebabkan si soleh itu hebat peribadinya, menyebabkan si solehah itu rasa tidak layak untuk si soleh, sungguhpun telah dirisik oleh si soleh. Maka, membuat keputusan menolak untuk bertaaruf, kerana si solehah rasa tidak layak untuk si soleh.

Jangan terus membuat kesimpulan melulu bahawa ‘aku tidak layak’. Tetapi, harus diingat.  Perlu juga ukur baju di badan sendiri! Jangan perasan bahawa diri itu si soleh atau si solehah. Jika solat berjemaah pun tidak istiqamah, malas menghadiri majlis ilmu, diri sendiri tidak terurus, masa banyak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia, maka layakkah untuk memiliki soleh/solehah sebagai pendamping?

Maka, jadikan diri sendiri sebagai kayu ukur. Jangan terlalu merendah diri. Disamping itu, istiqamah untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama. Kerana sibuk melengkapkan diri lebih penting daripada sibuk mencari calon isteri. Tetapi, abi tidak maksudkan mencari calon isteri tidak penting!

Beranikan diri

Jika sudah bertemu yang soleh mahupun solehah, lakukan istikharah dan istisyarah. Jadikan Allah sebagai tempat yang utama untuk kita bergantung, dalam membuat sesuatu keputusan. Bukan hanya dengan nafsu semata-mata. Pilih untuk berserah diri kepada Allah.

Jika sudah dapat ketenangan, maka teruskan merisik. Tetapi, gunakan orang perantaraan yang sudah berkahwin atau baitul muslim. Sebab apa? Supaya lebih terjaga perhubungan antara si soleh dan si solehah. Syaitan akan sentiasa berusaha untuk menggoda manusia  supaya melakukan dosa, dalam keadaan kita sedar atau tidak. Maka, berhati-hati!  

Mulakan langkah seterusnya

“Haa, enta faham tak, apa yang ustaz telah terangkan tadi? Jangan terlalu rasa rendah diri. Ustaz rasa enta layak untuk Siti. InshaAllah. Teruskan berdoa. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Sebelum ustaz bernikah, ustaz juga rasa tidak layak untuk zaujah ustaz. Beliau seorang yang hebat peribadinya. Bertudung labuh dan berpurdah. Tetapi, ustaz beranikan diri. Alhamdulillah. Sudah enam tahun berkahwin dan mempunyai dua orang anak.”

“Hmm. Syukran jazilan atas nasihat dan bimbingan ustaz. InshaAllah. Ana yakin dengan pilihan ana. Ana nak minta tolong ustaz boleh? Boleh ustaz dapatkan biodata muslimat itu, melalui baitul muslim? Ana ingin merisik beliau. Ana ingin tahu visi dan misi hidup beliau. Setelah itu, jika sudah yakin, ana berhajat untuk taaruf pula dengan beliau.”

“InshaAllah, ustaz akan usahakan. Semoga Allah permudahkan urusan enta.” 

Ruang Dosa di Facebook | iluvislam.com discover the beauty of islam

Ruang Dosa di Facebook | iluvislam.com discover the beauty of islam


 Mungkin kita pernah terbaca dengan beberapa ungkapan yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, cuba lihat di wall facebook kita atau sahabat-sahabat yang lain.
" Hari ini saya keluar dating dengan bf saya"
"Seronoknya keluar ngan **** semalam kat mall, thanx!!!"
"Awak ni gatal la sayang ;-)"
"baby, bila lagi nak 'study' sama-sama?"
"awak cantik pakai baju itu, cun"
Dan pelbagai lagi contoh-contoh komen, yang tak sepatutnya. Kemudian, agak menyedihkan, apabila kita muat naik gambar, tanpa kita sedari, mendedahkan aurat kita sendiri, dan bergambar dengan pasangan bukan muhrim secara berpegangan tangan atau berpelukan.
Mungkin, kita tidak mempunyai apa-apa niat, malah rasa bersahaja apabila menulis komen-komen serta meletakkan gambar tersebut. Tapi sedarkah kita, kita telah membuka keaiban diri kita sendiri, dengan menghebahkan perkara tersebut kepada pengetahuan umum?
Menurut buku "Sabil An-Najat Min Syu-um Al-Ma'shiyat" atau "15 Kaedah Selamat Dari Maksiat", penulisan Muhammad bin Abdullah Al-Duwais, beliau ada menyatakan jangan hebah apabila berbuat maksiat. Terdapat beberapa nas agama yang boleh dikongsikan.
Bersumberkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, ia berkata:
" Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Semua umatku diampuni kecuali orang-orang yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan. Salah satu contoh perbuatan maksiat ialah, seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, padahal Allah menutupinya, namun kemudian pada pagi harinya ia bercerita kepada orang lain: 'Hai polan, semalam aku melakukan ini dan itu." Sebenarnya ia tidur malam dengan ditutupi aibnya oleh Tuhannya, tetapi pagi harinya ia menyingkap sendiri tabir Allah itu darinya."
(riwayat Al-Bukhari(6069) dan Muslim(6990))
Malangnya bagi kita, apabila kita gagal mengawal hawa nafsu kita daripada melakukan maksiat. Nafsu tersebut dikenali sebagai Nafsu Ammarah. Nafsu jenis ini sering menjurus melakukan maksiat dan kejahatan, serta sering mengikut hawa nafsu dan tidak sesekali melawannya. Maksiat yang dilakukan terasa seronok dan lazat, malah berbangga dengannya. (sumber majalah Solusi isu 25)
Adakah kita gembira apabila tergolong dalam golongan-golongan tersebut? Sudahlah kita melakukan maksiat seperti berdua-duaan bukan muhrim, berpegangan tangan, dan pelbagai lagi maksiat yang kita lakukan, nauzubillah. Kemudian, kita menghebahkannya dalam laman web sosial, dan berbangga dengan perbuatan tersebut. Kita jadikan nafsu sebagai tuhan. MashaAllah.
"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?."
(Surah al-Jatsiyah ayat 23)
Kita sering tertipu dengan godaan hawa nafsu. Sudahlah kita melakukan kemungkaran, malah menghebahkannya kepada umum. Di mana tempat kita di sisi Allah? Timbulkan persoalan dalam diri anda, jika anda melakukan sedemikian.
Justeru, sudah semestinya kita tidak mahu tergolong dalam golongan-golongan yang dimurkai Allah, bukan? Jadi, janganlah kita melakukan kemungkaran, seterusnya tiada apa yang perlu dihebahkan kepada umum, tentang perkara terkutuk tersebut, kan? Kawal hawa nafsu kita, jangan biar hawa nafsu mengawal kita.
Seorang mukmin yang mengaku berasa takut kepada Allah dan menganggapNya sebagai Tuhan Yang maha Agung, apabila suatu waktu terjerumus dalam suatu perbuatan maksiat dan melanggar apa yang tidak boleh dilakukan, seharusnya ia benci maksiat tersebut dan seboleh mungkin berusaha agar jangan sampai diketahui oleh sesiapa pun. Malah, jangan menceritakan kepada orang lain sehingga diketahui umum. Berehati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan, terutamanya dalam laman web sosial, kerana kita mungkin membuka aib sendiri, tanpa kita sedar.
Tetapi, ingat sahabat-sahabatku! Ini bukannya kebenaran atau platform untuk kita melakukan maksiat! Maksiat tetap harus dijauhi, supaya tidak menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubat sebelum terlambat!
- Artikel iluvislam.com